Ikhlas bertanya kepada sesiapa yang membaca; apakah yang kita tahu mengenai Bangsa/Kaum Sulu sebelum percubaan mereka untuk mengambil Sabah secara pemberontakan?
Mungkin sebelum 12 Februari 2013, kita hanya mengetahui secebis sahaja kisah yang melibatkan mereka di dalam peta sejarah. Bermula dengan kisah isteri kepada pejuang bernama Muhammad Salleh (dikenali sebagai Mat Salleh) yang menentang penjajahan Inggeris di Sabah dan diakhiri dengan penglibatan mereka dalam kekalutan di Selatan Filipina. Namun, ramai yang kurang mengetahui kisah penderitaan keturunan mereka setelah kejayaan Inggeris menundukkan Mat Salleh serta layanan kurang adil pihak Filipina yang diterima keturunan mereka kemudiannya.
Sehinggalah baru-baru ini, sejarah mereka mula dikorek. Bagaimana taraf kehidupan keturunan mereka yang masih berada di Sabah setelah menyertai Malaysia, sehinggalah kepada taraf kerakyatan yang mereka terima. Maka wujud sesetengah pihak mendakwa berbagai-bagai perkara, baik dan buruk mengenai kaum yang hampir dilupakan ini.
Sulu, atau mungkin ada yang memanggil mereka dengan panggilan Tausug/Bangsajolo, merupakan kaum utama suatu ketika dulu di tanah Sabah, sebaris dengan Kadazan dan Bajau yang merupakan kaum majoriti di negeri di bawah bayu itu. Memandangkan mereka adalah antara yang terawal di rantau tersebut yang menerima Islam, sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Sultan-sultan terdahulu adalah berteraskan sistem perundangan Islam. Terdapat sumber menyatakan mereka juga merupakan pemerintah asal bagi Filipina, namun sejauh mana kebenarannya tidak dapat penulis sahkan, memandangkan sejarah Filipina agak rumit untuk dikupas satu persatu serta sumber pembacaan yang agak kurang. Satu kelemahan yang sedang cuba dibaiki oleh penulis sendiri.
Namun, persoalannya kini, wajarkah mereka yang mengaku beragama Islam serta dikatakan saling bekerjasama dengan Bangsamoro (atau lebih dikenali panggilan ringkasnya Moro) dalam usaha menuntut Mindanao dijadikan wilayah autonomi mengambil tindakan yang tidak mencerminkan keislaman mereka? Mungkin, menuntut hak ke atas Sabah adalah berlandaskan fakta 'kewajaran', namun tindakan yang diambil sehingga mengorbankan sejumlah anggota dan pegawai polis Malaysia (PDRM) boleh dilabel sebagai tindakan pengganas.
Apapun, sehingga kini keadaan di timur Sabah masih bergolak, walaupun keadaan agak reda berbanding sebelumnya. Apa jua kritikan, cemuhan dan hinaan yang dilemparkan kepada pihak keselamatan sama ada polis atau tentera, sebagai rakyat Malaysia yang patuh kepada undang-undang walaupun berbeza latar belakang dan fahaman politik, harapan penulis agar kita sama-sama berganding bahu dalam usaha membebaskan salah satu negeri di bumi Malaysia ini dari pergolakan yang boleh membawa kepada kehilangan lebih banyak nyawa dan kerugian harta-benda. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita lebih menumpukan usaha memberi bantuan sewajarnya, sama ada sumbangan wang ringgit, atau turut terlibat sama dalam operasi pasukan keselamatan sebagai sukarela, berbanding menuding jari menyalahkan pihak-pihak tertentu sama ada menggunakan media arus perdana atau laman sosial. Harus juga penulis ingatkan agar sebarang tindakan yang diambil mestilah berlandaskan prinsip kemanusiaan secara bijak, bukan mengikut emosi dan perasaan.
Sehingga catatan ini ditaip, penulis baru tiba di Kuala Lumpur dari bumi kenyalang kerana tugasan.
No comments:
Post a Comment