Ketika catatan ini ditaip, Lukas Podolski masih lagi menjalani rawatan susulan kecederaan yang menimpa. Malahan, berkemungkinan besar beliau tidak akan dapat mewakili Jerman untuk kelayakan Piala Dunia dalam masa 2 minggu ini. Ketika ini juga, berita angin sedang bertiup di The Emirates oleh beberapa tabloid England yang menyatakan Podolski akan dijual ketika musim berakhir. Persoalannya, adakah berita ini benar atau sekadar melariskan akhbar?
Jika dilihat dari persembahan Podolski atau lebih mesra dipanggil Poldi oleh penyokong FC Cologne (kelab lamanya) dan Arsenal, musim ini tidaklah begitu mengecewakan bagi pemenang Anugerah Pemain Muda Terbaik Piala Dunia 2006 ini. Selain mencatatkan nama selaku antara penjaring The Gunners, beliau juga dilihat sering melakukan hantaran-hantaran rendah yang merbahaya di hadapan gol lawan, dan kebanyakannya berjaya disudahkan oleh pemain-pemain lain; terutamanya oleh Olivier Giroud. Pun begitu, tidak dinafikan tempoh penampilannya dalam setiap perlawanan masih dipertikaikan beberapa pihak kerana sering digantikan atau menjadi pemain gantian. Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang menjadi sebab penting kenapa Arsenal masih memerlukan Podolski untuk beberapa musim akan datang, iaitu:
1) Rembatan. Purata cubaan tepat Podolski bukanlah antara yang terbaik di dalam EPL, namun kesemua cubaan yang dilakukan mencatatkan kelajuan melebihi 70km/j. Ini bermakna sekiranya cubaan yang dilakukan adalah tepat, hanya palang atau kedudukan penjaga gol lawan yang menjadi penghalang. Malahan, Podolski adalah antara 3 pemain Arsenal yang telah menjaringkan gol dari luar kotak penalti untuk musim ini di dalam kancah EPL (selain Santi Cazorla dan Theo Walcott).
2) Kadar hantaran/assist. Biarpun posisi asal Podolski adalah forward, namun kebanyakan hantaran silang rendahnya adalah merbahaya. Ini dapat dibuktikan melalui perlawanan menentang West Ham di mana beliau mencatatkan 3 assist selepas menjaringkan gol pertama Arsenal. Untuk rekod, gol pertama Cazorla dan Giroud juga hadir menerusi hantaran beliau. Rekod ini perlu dilihat sebagai pemangkin oleh pengurus Arsene Wenger dalam menyusun pasukan untuk musim 2013/14. Penjualan Podolski hanya akan mendatangkan kerugian dalam usaha pasukan untuk mencipta gol.
3) Posisi. Dengan Alex Oxlade-Chamberlain yang masih memerlukan sedikit masa untuk menjadi pemain sayap handalan, corak permainan Gervinho yang lebih gemar membawa bola hingga ke muka penjaga gawang serta Arshavin yang dilihat tidak lagi relevan dalam pasukan, Podolski menjadi satu-satunya pemain yang sesuai untuk beraksi di bahagian sayap kiri Arsenal. Posisi ini dilihat hanya mampu digalas oleh The Ox, namun pengalaman beraksi di peringkat tertinggi menjadi pemisah antara mereka. Walaubagaimanapun, dengan peluang untuk mencari pengalaman masih terbuka luas, Podolski masih boleh diharapkan untuk membawa cabaran di musim-musim akan datang.
4) Rajin. Sikap ini sebenarnya lebih merupakan jawapan kepada beberapa pengkritik yang menyatakan Podolski tidak mampu bermain sepenuh masa. Pada satu ketika, Podolski dilihat membuat blocking di sebelah kanan pintu gol Arsenal, kedudukan yang sememangnya jauh dari posisi sayap kiri. Malah kebanyakan masa, beliau dilihat kerap turun membantu barisan pertahanan pasukan dan membentuk persefahaman tinggi bersama Wilshere yang akan menjadi penyambung kepada Cazorla atau Giroud yang membuat covering di posisinya. Ada juga ketikanya, Podolski dilihat berada di kawasan tengah untuk menerima bola dan kemudian membuat hantaran ke atas, sama ada ke kiri untuk disambut oleh Gibbs/Santos/Monreal atau Through-pass kepada Cazorla/Giroud.
5) Kelajuan. Antara pemain yang mempunyai larian pantas dan aset yang sering dilihat sebagai penting dalam penerapan taktikal Arsene Wenger.
6) Pertuturan. Podolski merupakan pemain luar England yang pertama tidak memerlukan jurubahasa ketika musim pertama di Arsenal. Boleh berkomunikasi dalam 3 bahasa (Jerman, Poland dan Inggeris) serta kebolehan bertutur beberapa perkataan mudah bahasa Sepanyol, beliau dilihat tidak mempunyai masalah untuk mencipta kesefahaman tinggi di kalangan pemain-pemain Arsenal yang terdiri daripada beberapa pemain yang turut bertutur dalam bahasa yang sama. Malahan, beberapa sumber menyatakan perbincangan antara Podolski dan Wenger sering melibatkan bahasa German (WEnger mempunyai kebolehan bertutur dalam 6 bahasa).
7) Pembela. Jika Wilshere dilihat mempunyai sikap panas baran, Podolski juga tidak kurang barannya. Untuk rekod, ketika beraksi bersama FC Cologne, Podolski pernah beberapa kali dilihat bertelagah dengan beberapa pemain lawan yang gemar melakukan terjahan-terjahan keras atau provokasi terhadap rakan sepasukan. Lihat sahaja di Youtube akan gelagatnya ketika bertengkar dengan Nuri Sahin. Malahan, sebelum menyertai Arsenal, berlaku aksi tolak menolak antara beliau dan Robin van Persie serta Vermaelen ketika perlawanan UCL peringkat kumpulan. Namun, perkara tersebut terjadi bukan berdasarkan faktor peribadi, malahan lebih kepada membela rakan sepasukan. Sikap seperti ini amat diperlukan oleh Arsenal memandangkan semenjak ketiadaan Vieira, Edu, Ljunberg, Lauren dan Parlour yang terkenal dengan permainan keras, pemain-pemain Arsenal sering menjadi mangsa fizikal lawan dan mengundang kecederaan, terutama ketika penghujung musim.
Terdapat beberapa faktor lain lagi yang menjadi jawapan kepada persoalan adakah beliau perlu dikekalkan untuk musim hadapan. Namun setakat ini, Arsenal perlu berjuang tanpa kelibatnya untuk beberapa perlawanan. Malahan, Laurent Koscielny juga berpendapat sekiranya Podolski dan Wilshere bermain dalam perlawanan menentang Bayern Munich dan Swansea, kemungkinan keputusan perlawanan adalah lebih baik (Podolski merupakan penjaring Arsenal ketika perlawanan pertama di Emirates Stadium manakala Wilshere merupakan pemusnah Swansea ketika perlawanan kedua Piala FA).
Apapun, bola sepak BPL adalah sesuat yang kadangkala sukar diramal dan banyak kejutan. Nantikan sahaja musim 2013/14 bermula, dan kita akan lihat siapa yang kekal, siapa yang keluar dan siapa pula yang akan masuk ke dalam pasukan yang penuh dengan kejutan ini.