Search For Fun

Saturday, July 6, 2013

ANTARA PIALA FA, GELARAN LIGA DAN KEBANGKITAN SEMULA.

Seminggu telah berlalu selepas kemenangan pasukan Kelantan atau dikenali The Red Warrior (TRW) menjulang Piala FA selepas menewaskan pencabar yang tidak kurang hebatnya iaitu Johor Darul Takzim (JDT). Suasana tegang, teruja dan panas antara kedua-dua pasukan sudah bermula sejak mereka layak ke perlawanan akhir lagi, baik dari segi reputasi, keghairahan penyokong sehinggalah kepada cetusan kontroversi baik oleh pemain mahupun FAM. Kelantan sudah pasti mahu mempertahankan salah satu dari tiga piala yang dimenangi oleh mereka tahun lepas, tatkala pada ketika itu peluang untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super sudah tipis (Lions XII dinobatkan juara pertengahan minggu), manakala JDT sudah pasti mahu merebut piala pertama buat pertama kali selepas pasukan mereka melalui transformasi besar-besaran di bawah kendalian Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail.
Adat pertandingan, ada menang ada kalah. Menariknya, kedua-dua pasukan mengharungi 90 minit perlawanan dengan beberapa faktor yang dinilai seimbang secara keseluruhan.

1) Lokasi Perlawanan: Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih selaku venue. Tiada kelebihan bagi kedua-dua pasukan, tatkala majoriti penyokong mahukan Stadium Batu 3 Shah Alam dijadikan venue berdasarkan kualiti padang walaupun ia bermakna jumlah penonton yang boleh memasuki stadium adalah lebih rendah. Faktor ini turut dilihat logik, apatah lagi Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaludin menyuarakan pendapat yang sama malah turut mengarahkan SNBJ ditutup seketika untuk proses pemulihan.
Penilaian: Seimbang untuk penyokong kedua-dua pasukan.

2) Penyokong: Semangat penyokong TRW memang tidak boleh dinafikan. Malah, beberapa pemain pasukan lain turut mengakui penyokong TRW adalah antara faktor penyumbang utama kekuatan pasukan mereka. Namun kali ini, mereka dicabar oleh penyokong JDT yang diketuai oleh ultras yang digelar Boys Of Straits (B.O.S.). Terdapat segelintir penyokong TRW yang turut memberi pujian kepada mereka lantaran sorakan yang tidak henti-henti ketika perlawanan. Namun, ia turut dicemari dengan beberapa insiden kecil seperti rusuhan akibat tiket habis, pagar stadium yang dirobohkan, insiden baling membaling sehinggalah cacian dan makian di laman-laman sosial. Namun, penyokong-penyokong profesional kedua-dua pasukan menjadikan insiden-insiden tersebut tidak mampu menghalang kehangatan dan kemeriahan perlawanan akhir. Pemerhatian yang dilakukan oleh wakil saya di stadium membuktikan ada beberapa penyokong TRW dan JDT sama-sama bersorak sebelum dan selepas perlawanan, ditambah ucapan-ucapan tahniah kepada pihak lawan masing-masing.
Penilaian: seimbang, tetapi penyokong JDT dilihat lebih menonjol.

Pasukan/pemain: Disebabkan tidak dapat menyaksikan perlawanan akhir secara langsung atas faktor kerja, saya hanya mampu melihat highlight di televisyen dan beberapa video ringkas yang dimuat naik di laman perkongsian serta pendapat beberapa kenalan yang arif dalam dunia bola sepak. Benar, JDT turun dalam keadaan serba tidak kena. Bermula dengan penyerang sensasi mereka iaitu Safee Sali yang dikeluarkan, sehinggalah 'kehilangan' pemain tengah negara iaitu Safiq Rahim yang dilihat sering hilang punca serta ketumpulan jentera serangan menjadikan JDT tidak mampu menjaringkan sebarang gol. Akibatnya, kesilapan barisan tengah JDT dihukum dengan jaringan tunggal TRW. Namun, hasil penilaian yang dibuat menunjukkan JDT tidaklah lemah dalam segala aspek pada malam tersebut. Awal-awal lagi, jurulatih mereka Fandi Ahmad sudah memaklumkan beberapa pemain mereka keletihan setelah mengharungi 2 perlawanan dalam tempoh seminggu sebelumnya. Malah, penjaga gawang mereka, Muhammad Al-Hafiz dilihat cemerlang menahan asakan-asakan pemain Kelantan dan dilihat berjaya mencuri tumpuan berbanding lawannya iaitu Khairul Fahmi yang walaupun cemerlang, namun tidak banyak dicabar oleh pasukan JDT. Manakala bagi TRW pula, sudah pasti gandingan Badri Razi serta Nor Farhan Mohammad menjadi taruhan. TRW juga dilihat lebih bermain sebagai 1 unit dengan persefahaman yang tinggi, berbanding JDT yang dilihat kadang-kala lebih gemar bertindak sendirian. Bezanya, hanya nasib tidak menyebelahi TRW untuk menjaringkan lebih banyak gol berikutan pemain-pemain pertahanan JDT yang dilihat berkerja keras menahan asakan demi asakan TRW serta kecemerlangan penjaga gawang mereka yang beberapa kali menyelamatkan JDT dari bolos. Jika pemenang hadiah Q7 di kalangan pemain JDT ditentukan melalui undian seperti rancangan realiti televisyen, saya kira sudah pastilah ia menjadi milik Muhammad Al-Hafiz (ramai penyokong TRW turut mengakui beliau memang layak dinobat pemain terbaik perlawanan).
Penilaian: Keseluruhan, TRW tetapi inidvidu, Muhammad Al-Hafiz.

Keseluruhan: Para pemain dan penyokong kedua-dua pasukan seharusnya layak diberi tabik hormat lantaran telah berusaha sedaya-upaya dalam menjadikan perlawanan akhir Piala FA meriah seolah-olah ia adalah perlawanan akhir Piala Malaysia. Namun, kegagalan FAM dalam beberapa isu seperti pengeluaran tiket, kegagalan pihak stadium dalam mengawal penjualan tiket, faktor kualiti padang yang rendah serta promosi yang dilihat kurang berkesan (penyokong kedua-dua pasukan lebih menonjol di laman sosial) sedikit sebanyak telah mencacatkan kemeriahan perlawanan. Mungkin FAM harus membuat 'bedah-siasat' bagi memastikan masalah-maslah ini dapat diatasi di masa akan datang.
Penilaian: Pemain/ penyokong TRW/JDT menewaskan FAM!

Diharap agar  perlawanan ini menjadi titik mula kebangkitan kemeriahan bola sepak negara seperti di zaman semi-pro dahulu. Cukup-cukuplah maruah bola sepak kita sering dicalar, apatah lagi ketika ini, Lions XII telah berjaya membawa gelaran Juara Liga dan Piala Liga Super menyeberangi tambakJohor, sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku ketika rata-rata pasukan yang bertanding dalam Liga Super memiliki ramai pemain-pemain hebat dan berpengalaman.
Ketika ini juga, di Kuching, Sarawak, pasukan mereka masih lagi segar dengan kejayaan meraih gelaran Juara Liga Perdana tanpa mengalami kekalahan dalam misi merebut slot untuk ke Liga Super musim depan. Walaupun saya lahir di Kuala Lumpur, namun sebagai seorang yang berdarah campuran, saya turut bergembira dengan kejayaan ini.
Namun, Liga Perdana juga tidak akan sepi musim depan, dengan kebangkitan semula Pulau Pinang yang pernah menjadi kuasa bola sepak negara sebelum ini yang menjuarai Liga FAM. Berkongsi kejayaan dengan peminat bola sepak tanahair, jurulatih mereka iaitu bekas pemain import PP Merzagua Abderrazak menyatakan mereka belajar dari kejayaan pasukan TRW yang bangkit dari zaman suram mereka (Kelantan pernah terperosok ke Liga FAM satu ketika dahulu sebelum bangkit menjadi pasukan digeruni).
Bola, bola jugak. Beberapa hari lagi, Ramadhan akan hadir.
SELAMAT MENYAMBUT KETIBAAN RAMADHAN YANG MULIA DAN SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA.