Search For Fun

Saturday, May 11, 2013

MEMERANGI JENAYAH KE ATAS KANAK-KANAK. ANDA BOLEH MELAKUKANNYA!

Ketika catatan ini dibuat, Malaysia masih belum lagi reda dengan isu PRU13 baru-baru ini. Saya tidak ingin menyentuh mengenainya secara dalam baik di dalam blog mahupun facebook memandangkan perkara ini seharusnya dibincang secara profesional sedangkan pemahaman dan penglibatan saya sendiri amat kurang. Apa yang ingin saya bangkitkan di sini ialah kes pembunuhan kanak-kanak yang semakin hari semakin berleluasa dan berada di tahap amat membimbangkan.
Apakah pihak berkuasa gagal dalam menangani kes-kes sebegini? Bagi saya jawapannya mungkin ya, mungkin tidak.
Apakah ibu bapa gagal dalam menjalankan tanggungjawab mereka melindungi anak-anak anugerah Allah? Saya masih bujang, jadi jawapannya terletak kepada mereka-mereka yang telah berkeluarga.
Apakah masyarakat gagal dalam membantu mengurangkan kes-kes sebegini? Perkara inilah yang hendak saya utarakan.
Kita jangan menyalahkan pihak berkuasa semata-mata dan pantas menuding jari mempertikaikan tugas mereka. Bagi saya, pihak berkuasa seperti PDRM telah cuba menjalankan kewajipan mereka memerangi jenayah sedaya upaya, walaupun diakui ada ketikanya mereka dilihat seolah-olah tidak mampu menanganinya.
Peranan ibu bapa juga seharusnya dititikberatkan dalam menjaga keselamatan anak-anak, terutama yang masih kecil. Elakkan dari menyuruh anak-anak ke kedai selepas waktu Maghrib, dan pastikan anak-anak kita berjalan secara berkumpulan apabila ke masjid/surau dan balik, walaupun jarak antaranya dengan rumah kita sangat dekat. Aktiviti ketika petang atau cuti juga harus dipantau supaya mereka tidak pergi ke mana-mana lokasi yang jauh dari rumah.
Namun, segalanya juga bergantung kepada cara kita hidup bermasyarakat. Berdasarkan fakta-fakta kronologi kes penculikan dan pembunuhan kanak-kanak, hampir 90% kes terjadi ketika mangsa berjalan sendirian. Di mana fungsi kita dalam menjalani hidup bermasyarakat? Adakah kerana apabila kita pulang dari bekerja dan melihat ada kanak-kanak yang bukan dari keluarga kita berjalan berseorangan, maka kita beranggapan "Pergi mampusla. Anak orang, bukan anak aku!" Tanggapan sebegini harus dikikis, ini kerana disebabkan kanak-kanak tersebut anak manusialah (orang) maka kita harus membantu menjaga keselamatan mereka.  Kes yang berlaku membuktikan kebanyakan mangsa melalui kawasan yang boleh dikatakan senang dilihat ketika diculik, fakta yang menyokong kurangnya nilai hidup bermasyarakat terutama di bandar-bandar pada masa ini. Janganlah dilihat pada warna kulit, bangsa, agama, fahaman politik ataupun taraf keluarga kanak-kanak tersebut. Jika kita menyalahkan pihak berkuasa dan ibu-bapa kanak-kanak terbabit, kita juga harus menyalahkan diri sendiri kerana tidak membantu usaha sesetengah pihak dalam membanteras jenayah terhadap kanak-kanak.
Jangan juga hanya pandai kongsi video dalam laman sosial tanpa kita membantu walau sedikitpun.
Hidup bermasyarakat bukan sahaja saling mengenali antara satu sama lain, tetapi juga membantu menjaga keselamatan sesama sendiri. Kanak-kanak adalah permata dan harapan masa depan negara. Mereka harus dilindungi dalam apa jua bentuk sekalipun. Jika kita mengaku yang kita warganegara prihatin dan bijaksana, maka bantulah pihak berkenaan dalam usaha membanteras jenayah ke atas kanak-kanak. Cukuplah kita dihidangkan dengan berita kematian atau kehilangan mereka dengan disulami tangisan ibu-bapa masing-masing. Jika kita ternampak kanak-kanak yang berjalan berseorangan tanpa ditemani sesiapa, setidak-tidaknya pastikan kanak-kanak itu berjalan dalam keadaan selamat. Dan jika kita mengenalinya, apalah salahnya jika kita membawa mereka pulang.
Bersamalah kita dalam membanteras jenayah ke atas kanak-kanak. Tolak ke tepi dahulu sentimen politik.